Bismillahirrahmanirahim
Assalamualaikum..
Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk mengupdate walaupun dah lama dibiarkan blog ni tanpa khabar berita. Satunya kerana kekangan masa, tetapi yang lebihnya ketakutan untuk menulis. Bukan kerana apa risau andai kata penulisan yang ditulis tidak membawa manfaat kepada pembaca, malahan menjauhkan diri penulis dan pembaca dari Dia yang Hakiki. Allahu Akbar.
Hari ini jiwa begitu terusik untuk menulis. Rasa begitu banyak yang nak dikongsikan. Di fikiran seolah-olah tiba-tiba diri tersusun-susun bait-bait kata menjadi ayat. Nampak berat sungguh niatnya untuk menulis. Namun begitu, dengan nama Tuhan Muhammad, saya kembali membetulkan niat saya. Moganya ada sedikit manfaat dari penulisan ini.
Semenjak diri semakin meningkat dewasa, semakin saya mengenal erti indah hidup bertuhan. Semenjak itu juga saya merasakan impak doa dalam kehidupan saya. Mungkin bagi sesetengah orang doa itu adalah sesuatu yang remeh. Namun tak bagi saya. Bagi saya, doa itu bukan sahaja satu permintaan dan pengharapan kepada tuhan, yakni Allah malahan lebih lagi. Jikalau ada ayat yang boleh saya gunakan untuk memperlihatkan kehiperbolaan impak doa itu, maka saya akan gunakan ayat itu untuk saya jelaskan doa itu bukan sekadar doa. Doa merupakan satu tali penghubung antara yang dicipta dan pencipta, atau mungkin lebih jelas lagi penghubung antara hamba dan tuannya.
Saya cuba gunakan analogi situasi si peminta sedekah untuk saya fahami lebih mendalam tentang doa. Si peminta sedekah meminta-minta belas daripada orang yang lalu lalang, ramai yang kita lihat menggunakan kekurangan fizikal yang mereka ada untuk meraih simpati. Malahan ada yang mengendong anak kecil yang kelaparan. Maka, ada insan-insan baik hati yang Allah rahmati menghulurkan sejumlah wang tanda belas mereka.
Saya kaitkan analogi ini dengan konsep berdoa. Si peminta itu mempunyai kekurangan berbanding si pemberi. Kita lihat mungkin daripada aspek fizikal, wang. Maka si pemberi tadi yang mempunyai kelebihan atau kekuasaan daripada si peminta akan menghulurkan bantuan. Begitu jugalah doa. Kita, manusia hanya makhluk ciptaan Allah yang mempunyai kekurangan, yang pengetahuannya terbatas, yang kemampuannya terbatas dan apa lagi yang tidak. Semuanya kurang jika hendak dibandingkan dengan Allah, tuhan yang menciptakan, yang bersifat MAHA (tertinggi) bagi segala-galanya.
Kenapa si peminta sedekah meminta sedekah? Sebab dia yakin yang ada orang yang mempunyai kekuatan lebih daripadanya yang akan membantunya. Jadi, kenapa perlu berdoa? Sebab kita tahu bahawa kita ini LEMAH dan kita PUNYA Allah yang akan membantu kita. Kita boleh memberikan janji yang kita mampu buat itu ini, tetapi kita lupa yang kita PUNYA Allah yang kekuasaannya mengatasi kemampuan setiap daripada kita. Maka, itu pentingnya doa agar Allah bantu segala-galanya dan tunjukkan jalan yang benar dan Dia redhai.
Dan harus diingat, doa itu bukan sahaja dengan mengangkat tangan baru dikatakan berdoa, tetapi dengan setiap lintasan dan rintihan kita juga merupakan doa.
Pernah dengar doa kata-kata yang mengatakan setiap bait bicara dan ungkapan adalah doa? Maka, sebab itu Islam mengajar kita untuk mengucap yang baik-baik kerana itu juga doa kita kepada si Dia.
Tiba-tiba saya yang teringatkan umi saya J.
Dia yang banyak memberi pesan kepada saya bahawa doa, doa, doa. Apabila saya mengadu itu ini, yang tidak akan lekang di bibirnya adalah doa kerana doa itu senjata orang mukmin. Dan yang pasti saya dengar dari bibirnya juga ialah Allah, Islam. Semuanya datang daripada Allah, maka kembalikan segala-galanya kepada Allah dengan sepenuhnya memberi kepercayaan kepada Dia.
Begitu hari ini saya memperoleh kekuatan daripada doa (kebergantungan kepada Allah). Saya masih insan biasa yang melakukan kesilapan, yang juga pada perasaan sedih, lemah, lemah longlai dan segala-galanya. Tetapi doalah medium saya untuk menceritakan segala-galanya kepada Dia, yang bahawa saya tanpa tak mampu menghadapi dunia tanpa Dia, tak mampu membuat keputusan tanpa Dia, tak akan gembira tanpa Dia, hatta tak mampu menggerakkan anggota tanpa Dia.
Sesungguhnya saya bersyukur Allah mengurniakan saya umi ayah yang solehah dan soleh. Yang sentiasa mengingatkan saya bahawa hidup ini ada Allah. Maka, saya azamkan dalam hati saya, insyaAllah saya pun mahu jadi ibu yang solehah untuk anak-anak saya nanti, yang mengajar mereka erti kehidupan yang sebenar. InsyaAllah J